POEMS


Aku mohon maaf kalau ada yang rasa annoying tapi bila kau alami semua ini, sudi-sudilah datang kembali untuk rasa dan ingat kita semua pernah mengalami dan kita tak keseorangan. Sekadar bingkisan-bingkisan tentang hati yang rabak. Dan semua ini ditulis aku luhur dari batin jiwa.


Usah Berdabik Dada

Hari ini aku punya cerita yang sukar diungkap,
Namun mereka kata aku masih di bayang lelap,
Apa yang sirna, itu yang masih tak lengkap,
Mereka bilang nirwana aku masih lagi malap.

Maaf tuan, aku bukan Tuhan,
Sedu sedan aku bukan kau yang tahan,
Bagai alunan, tapi bukan ukuran,
Terus-terusan, sini aku persembah amaran.

Lembayung yang tumbuh, kau kata stigma,
Mari aku suluh, mana yang bunga,
Usahlah angkuh, berhias pula cerca,
Kerana teduh, tak bermakna mentari sirna.

Esok hari, andai belum mati,
Terbentang selari, perjalanan sepi,
Ingatlah hakiki ini, sejauh mana pun berlari,
Tersadung nanti, siapa mahu hulur dan beri?

Hari yang canggung, penuh tafakur,
Menanti mendung, yang tak teratur,
Sayangnya rebung, kau lambat lentur,
Umpama dayung, nak dibuat busur.

Sini aku dendang, satu puisi teguran,
Kerana aku sayang, aku masih heran,
Hari ini kau tayang, hari esok jadi beban,
Maka yang nak dicanang, eloklah separuhnya disimpan.

Kita semua

Biarlah kata terus melata,
Dan biarlah aku terus dikata,
Apa gunanya lekas melatah,
Tetap jiwa terus berdarah.

Jiwa bidadariku cuba sembunyi,
Risau takabbur mengawal diri,
Tak sangka kau benar buta,
Masih tersurat ditatap mata.

Tak ku kisah yg jahil kau lihat,
Kerna ku tahu suci juga dinilai malaikat,

Dah berlubang hati ditembak engkau,
Namun ku selimut sinar biar menyilau,
Kerna tak perlu ku tayang sakit takut dipulau.

Batin hatiku terus meracau,
Segala-galanya dipijak engkau,
Makin lama makin rekah,
Dihentak luka kian bernanah.

Jiwa aku berterabur rapuh,
Akarnya goyang digugat kan jatuh,
Sempat ku tambat kukuh terikat,
Ku lilit sutera biar terubat.

Dan engkau bukalah hati terimalah kiriman ini,
Walau hadirmu mengundang rusuh di hati aku bahkan kami yang lain,
Tapi yakin aku takkan rapuh,
Sungguh!

Saja aku biarkan tiada bertajuk kerana pasti semua mengalami situasi ini dan kita semua ada tajuk yg tersendiri. Letaklah jiwa kita semua dalam bait-bait ini. Moga terubat segala kepedihan dan duka lara.

*Apa yang aku alami bersama THE ZEALOUS.



Balaslah Rinduku

Assalamualaikum.

"Rindu"

Terlalu rindu sampai ada menyapa,
Membawa aku mencari arah,
Entah kemana kupasti bukan realiti,
Kerna sayapku sudah mengepak terbang,
Kian laju hingga terjatuh.

Kucelik menatap dunia,
Namun gelap langkahku terbatas,
Terlanggar besi memagar sangkar,
Rupanya kembaraku telah terhenti.

Pekikan suara bergema memecah sunyi,
Terasa aku yang memekik tadi,
Hakikatnya hatiku yg sudah bersatu,
Dengan dia teman sesangkarku,
Yang tadi aku rindui setengah mati.

Tanpa sedar ku kepak sayap bukan sebelah.

*bagaimana aku bila rindu berbalas rindu. Kita semua merasai tapi tak semestinya kita merasai yang sama. Sekadar kongsi biar disentuh jiwa kita semua.


Khilaf Semua


Kepada engkau,
Tak pernah terlintas sekalipun,
Membiar kau merintih seorang,
Tak pernah sekalipun aku ingin,
Merampas segalanya milik kau,
Maaf kalau semua ini pernah terjadi,
Mungkin khilaf aku dan jahilnya aku,
Aku yang kurang tahu,
Tapi berkali juga aku cuba,
Perbaiki apa yang perlu kutampal,
Akhirnya, aku yang keliru, aku yang pelik,
Mungkinkah gam tampalan aku terlalu naif,
Hinggakan kau tolak mentah-mentah,
Aku pasrah andai usaha aku ini sia-sia,
Tapi aku sakit bila kau masih berdendam,
Kau pula merampas satu per satu milik aku,
Daripada sahabat aku hingga ke hidup aku,
Segala yang aku pernah bina,
Habis musnah, runtuh, berselerak kerana kau,
Dan sekali lagi aku pasrah.
Cuma pesan aku,
Apa yang kita lakukan biarlah bermula,
dari niat yang luhur dan suci,
Aku terima andai satu per satunya kau ambil,
Tapi, ambil dan jagalah dengan ikhlas,
Bukan kerana dendam.

 *Luahan hati tentang insan yang dituduh sebagai yang ketiga dalam sebuah persahabatan. Sengsara itu bermula bila sahabat-sahabatnya mula menjauh sebab sebuah dendam.


Takut


Bila fajar menyingsing,
Kerisauan aku mula bertandang,
Aku takut menghadapi siang,
Kerana pedih menusuk memanjang.

Tapi aku gagahkan segala,
Walau otakku ligat mengejarnya,
Selimut mimpi yang terus aku dahaga.

Makin lama aku makin takut,
Takut jika bintang yang aku gapai,
Lebur dalam genggaman sendiri.

Takut jika bulan yang aku riba,
Jatuh bila aku cuba berlari.

Takut andai sinar yang menanti,
Pasrah sirna dibalik mimpi.

Aku punya rasa ini,
Rasa gentar untuk menghampakan diri.

Aku perlukan sempurna,
Untuk menghiasi musafir yang lama.

Jika benar aku mampu melukis takdir,
Aku mahu terus dibuai lena,
Agar aku tak perlu takut,
Menanti masa aku meluluh rapuh.


Hilang Tanpa Arah

Bila kejora mula menyinar,
Dan malam berlabuh tirai,
Angin dingin mula bertandang,
Menanti sepi yang terasing.

Langkah aku mulai tersasar,
Mencari arah yang kian sirna,
Hanya berpandu mentaliti cetek,
Solusi yang benar aku biar pergi.

Kejora tadi mula sembunyi,
Membuat aku tak utuh berdiri,
Ilmu mantik mahu pun duniawi,
Semuanya hilang sendiri pergi.

Ibarat sakura gugur di senja,
Aku juga mulai rapuh,
Kemana lagu hala tujuku,
Andai paksi turut bergoyah.

Aku malu mahu menadah,
Memohon dari Ilahi,
Kerana dosa kubina tinggi,
Bagai menghapus pahala yang kurang.


Kita Sama Derita

Bila madah mudah terjual,
Terus kau kutip,
Tak tinggal sisa.

Aku yang menangis,
Aku yang derita.

Ditinggal engkau,
dicampak engkau,
dibuang engkau.

Perlahan,
aku pergi,
tak harap kau mencari.

Kadang ku keliru,
bila mana rindu bertandang.

Kadang ku teringat,
pada kasih yang berbekas.

Aku lupa.
Aku yang terlalu mendesak,
dan patut engkau pergi.

Dan salah aku.
Kita sama derita.
Engkau dituduh aku.
Aku ditinggal engkau.

Semuanya bila..
Kita terlalu dibawa hati.
Risau saling kehilangan,
hingganya benar terjadi.

*tentang hati-hati yang tak cuba saling memahami.  




Pernah

Tak perlu kau lafaz bicara janji,
Andai sekadar dibawa angin lalu,
Sesudahlah memotret cinta didada,
Sekadar batin hatiku tersiksa,
Jangan kau pernah melangkah hampir,
Bergunung serik ku tahu perit.

Dulu...

Di pinggir hati ku alun syahdu,
Lafaz cintaku berkarang sempurna,
Gigih harapku disambut engkau.
Dan tetap aku menagih janji,
Biarpun tiada khabar menyapa,
Tetap aku setia menunggu kamu.

Berjalan angkuh kau bawa dia,
Retinamu langsung tak mengusik aku,
Sudahku tahu semua,
Aku kini dilempar dicampak engkau.

Menunggu tetap di tepi jalan,
Biarpun sakit tapi tak merasa,
Masih ku minta kecurangan engkau,
Agar kembali kau ku punya.

Namun masa tetap berlalu,
Menyaksi aku ditinggal kamu,
Entah mungkin kau masih ingat,
Semua ini pernah terjadi,
Pernah.

Kukutip kayu buat penahan,
Agar aku kekal ampuh,
Takkan ku izin batin dibuka,
Takku ulang semua semula.

Semadilah engkau di kubur jiwa,
Tak mampu ku lepas engkau dibawa angin,
Kerna semua ini pernah terjadi.
Pernah.

*Secebis bingkisan tentang hati yang pernah disentuh lelaki yang manis menabur janji namun telah curang. Namun hati itu tadi masih setia mnuggu sehingga melihat kecurangan lelaki itu dan berharap lelaki itu akan curang lagi agar dia kembali semula ke hati tadi. Namun, semuanya hampa dan semua kisah itu masih berbekas di hati kerana SEMUA INI PERNAH TERJADI.




Pesanan buat kaum Adam

Melaut janji membanjir diriku di paras tinggi,
Dihurung semut bak dipuja puji beribu kali,
Manis madah hingga terpaut hati,
Bahkan akalku umpama diusung pergi.

Merata.

Laut membanjir serata dunia,
Tanpa empangan kau masih menabur kata,
Namun aku tetap percaya,
Kerana kuingat hati ini dijaga.

Palsu.

Serata buana aku merempat,
Menanti engkau tak pernah penat,
Mana pernah sikit pun kau ingat,
Aku yang menunggu berupah keringat.

Kosong.

Jiwa aku berbekal bekas,
Isinya lapuk hilang mewangi,
Kusangka pelangi akan menyapa,
Rupanya aku masih menanti.

Kesakitan.
Keperitan.
Kebodohan aku mengharapkan kamu,
Yang jelas menghias jerat.

Ku sampaikan pesan harap kau mendengar,
Sungguh bisanya biarlah aku sorang,
Jangan diuji kaumku yang lain,
Kerana sakitnya dunia merasa.